SEJENAK KE ALAM RUMAHTANGGA
Kata pujangga
Perempuan bagaikan angin
Lembutnya melenakan
Ributnya menggusarkan...
Adakalanya mereka seperti ibu
Menyaji kasih, menghidang sayang
Adakalanya mereka seperti anak
Ingin dibelai, minta dimanjakan
Adakalanya mereka seperti nenek
Berleter seadanya, merungut semahuannya...
Namun,
Teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini
Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka...
( i )
Psst….
Tiba tiba isteri merajuk
Pandai pandailah memujuk
Buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya
Teliti dengan hati yang terseni
Rasional atau emosi ?
Andainya emosi, belailah emosi itu
Jangan cuba dihadapkan secara rasional
Kerana si dia tak akan terdaya
Mengunyah hujah, berilah walau seribu sebab
Lengkap dengan perangkaan statistik
Atau dokumen saintifik
Berserta dengan beberapa affidavit
Dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu...
Dalam situasi ini
Fikiran telah ditawan perasaan
Sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa
Jinakkan perasaan hadiahkan senyuman...
Masih gagal ?
Cuba gunakan sentuhan
Semarakkan belaian...
Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda
Emosi isteri
Bagai riak riak air dalam cawan
Jangan digoncang, buat selamba
Lambat laun, gelombang akan tenang
Air dicawan akan kita minum jua...
Tapi awas…..
Kalau ternyata, rajuknya berfakta
Masamnya berdata, geramnya berilmiah
Marahnya ada prima facie
Ini rajuk taraf tinggi namanya
Perlu ditangani berhati hati
Kalau ternyata benar, apa salahnya kita terima
Mengaku lalu berjanji serta berikrar
” Sayang abang tak ulang lagi “
katakan ” Sayang… abang alpa “
bisikkan ” Darling.. I lupa..”
Hulurkan tangan, pinta kemaafan
Pendekatan kasanova, tapi hati suci...
Rajuk isteri seperti mangga muda
Perisanya masam
Tetapi…
Kalau kena cicahnya
Enaknya akan terasa
Ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin...
Thursday, March 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment